Thursday, July 12, 2012
ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU
Pandanglah wajah
orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri,
anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu
hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup
datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang
dinamakan kematian.
Itulah detik yang
paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan
lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang
dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti
menggetirkan.
Seorang isteri
yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya.
Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan –
tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan.
Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
Kekadang masih tak
puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil
pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh
panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling
kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah
berbelah, tetapi terpaksa berpisah!
Sekiranya saat ini
kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka
kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah
dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah
ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya
Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.
Tidak sempat
bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula
meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh
bapa saudaranya Abu Talib.
Kenangkan zaman
kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala
kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam
itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari
makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia
dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan
kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu
mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.
Sejak baginda
berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa
bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila
digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia
berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang
berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah! Itulah Khadijah kekasih
Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.
Namun tidak lama,
di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda
kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi. Pergi
ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang
memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda
berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku
lagi. Abu Talib pula pergi. Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
Tiada lagi perisai
yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila
masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika
dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian
Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa
perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.
Tidak cukup dengan
itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama
Rasulullah, kehilangan pula puteri-puteri kesayangannya Zainab,
Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah.
Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang
berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor
perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!
Ya,
saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha
Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada
selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji
dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup
kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari
setiap episod kematian yang telah dilaluinya.
Jika kita kematian
ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita
kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu.
Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil pergi,
ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya
berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke
kemuncak… baginda pula yang akan pergi.
Baginda sangat
mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta
kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya
mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah),
teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan
cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di
daerah tinggi!
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih
hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah
seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti
bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama
doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang
dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu,
lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di
tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini
menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya
terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu.
Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak
yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah
titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai
pahala… yang mengalir selamanya..
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir
pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk
bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti
Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah.
Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan
merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang
ditinggalkan suami!
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk
merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain.
Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali
kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran.
Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah
setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada
Allah.
Andai dia pergi dulu
sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik
ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah
yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah,
sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan
ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi
katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh
menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada
kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian
hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala
kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi.
Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling
derita.
Jika kematian
dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah
SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara
berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda
telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya
Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan
kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya.
Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
Ketika masih
perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul
Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan
sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti
khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
Baginda diberi enam
orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang
ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah
rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW
dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan
baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
Lalu ditumpukan
kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan,
sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar
cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah
tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya
memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan
besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin
di Karbala.
Begitulah Rasulullah
menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula
keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang
tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di
hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita
lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”
Dalam “kamus”
kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah
ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu
rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya.
Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan
tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami
manusia biasa.
Namun begitu, di
saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang
solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan
ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.
Ketika segala
tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah
yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
“Aku telah
menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah
baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?”
Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan:
“Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada
barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda
berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu
ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya,
baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang
ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
Inilah bahagia yang
dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia
kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati
kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata
itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”
KETIKA RASULULLAH PERGI…
Tengah hari itu…
gugur butiran air mata di wajah mu
Hibanya hati melepaskan Rasul pergi
Bukan tidak reda,
Tapi itulah hati seorang isteri
pasti ada rasa cinta!
Pada akrab sekian lama yang terpisah
Bagai isi dan kuku…
Tapi hakikatnya kita semua hamba
Yang terpaksa akur dengan takdir-Nya
Jalan mujahadah menggamit kelangsungan budi
Setia seorang isteri tanpa teman menabur jasa
makam itu cuma semadi jasad…
Tapi dian batinnya terus menyala
Pada sebuah amanat di sisi isterinya
Wahai srikandi cinta Rasul yang masih hiba
Duhai srikandi budi yang masih lara
Sepuhlah air mata di usia muda
Melangkahlah semula dengan kukuh
kerna jalan ini masih jauh
Yang wafat cuma jasad
Bukan niat dan semangat!
Citra ini mengimbau sejarah ‘si merah’
– Umamahatul Mukminin Siti Aisyah
di usia remaja menjadi isteri Rasulullah
Teman Rasul ketika berjuang membela umat
Teman Rasul ketika di amuk sakarat
di ribaannyalah baginda wafat
Sepeninggalan Rasul…
Dialah gedung ilmu yang mendidik tanpa jemu
Dialah gunung budi yang berbakti tanpa henti
Dia hanya kehilangan suami
Tapi bukan kehilangan misi!
Sesekali ketika rawan diusik kenangan…
Berteduh di sejuk wuduk menawar gundah
Istirahat hati pada satu hakikat…
Cintaku hanya sedebu cinta-Nya
Relakanlah dia pergi…
Menemui temannya di daerah tinggi!
Tuesday, July 10, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)
My Youtube Channel
https://www.youtube.com/user/mhconan/featured?view_as=subscriber
-
artikel ini sekadar renungan dan menambahkan ilmu pengetahuan...sama ada benar atau tidak "tanda-tanda" ini tidaklah dapat dikenal...
-
The words that i can say right now is welcome to my blog, this is my first time to blogging, hehe..hope not hangat-hangat taik ayam, so righ...