Thursday, April 2, 2009

My "Kampung"

KEMILAU berlian melingkari emas putih kelihatan seakan-akan permata bercahaya. Diperindah dengan ikatan ayam patah kepak, Aigrreete yang pernah dipakai di tengkolok Sultan Perak, akan menangkap pandangan pengunjung di Galeri Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Aigerreete Diraja ini direka khas Almarhum Sultan Idris Shah I pada 1911 dikatakan bernilai 200,000 pound sterling. Apabila baginda mangkat, ia dijadikan antara alat kebesaran diraja Perak.


Menurut Pengurus Galeri, Nor Janati Ibrahim, Aigrreete yang pernah dipakai moyang kepada Sultan Azlan Shah itu menyimpan kisah menarik apabila pernah dibawa lari ke Singapura berikutan kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu, pada Disember 1941.

"Pegawai daerah ketika itu terpaksa berbuat demikian bagi melindungi warisan diraja yang amat bernilai ini. Ia dikembalikan semula kepada Almarhum Sultan Abdul Aziz pada zaman pentadbiran British," katanya.

Anda yang mengunjungi Galeri Sultan Azlan Shah yang tersergam indah di Bukit Chandan dapat menyaksikan pelbagai alat kebesaran diraja

Galeri dibuka pada 15 April 2003 bukan saja berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan pengunjung mengenali lebih mendalam perjalanan hidup seorang raja.

Pengunjung dapat melihat pakaian yang pernah disarungkan keluarga diraja Perak termasuk ketika pernikahan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Nor Janati berkata, bahan pameran diatur mengikut kronologi peristiwa bagi memudahkan pengunjung memahami peralihan masa dari zaman anak raja sehingga bergelar pemerintah Perak pada masa kini.

"Sebagai contoh, setiap set pinggan mangkuk yang pernah digunakan baginda turut menyimpan kisah tersirat di sebaliknya. Set dengan cop abjad RAS bermakna Raja Azlan Shah, SAS ketika menaiki takhta Sultan Perak dan logo khas sepanjang baginda bergelar Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Bangunan asal galeri ini adalah bekas Istana Ulu, yang menjadi tempat bersemayam moyang Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum Sultan Idris I.

WARISAN DIRAJA

Sejak abad ke-15, Bukit Chandan menjadi tempat bersemayam pemerintah Perak. Selain Galeri Sultan Azlan Shah yang menjadi bekas Istana Ulu, pengunjung boleh singgah melawat Istana Iskandariah dan Istana Kenangan.

Istana Kenangan, bangunan dengan warna kuning diraja ini terkenal kerana pembinaannya tidak menggunakan paku walaupun sebatang. Kini dijadikan sebagai Muzium Diraja Perak.

Istana Iskandariah pula menjadi tempat bersemayam Sultan Azlan Shah, dibina pada 1926 ketika pemerintahan Sultan Iskandar Shah, dan hanya siap pada 1933. Kini, istana ini menjadi lokasi upacara penting negeri termasuk pertabalan dan perkahwinan diraja.

Bangunan ini turut menyimpan satu lagi khazanah negara iaitu keris Taming Sari yang dikatakan pernah menjadi milik Hang Tuah.

Satu lagi tarikan pelancongan di Bukit Chandan ialah Masjid Ubudiah yang dianggap antara masjid terindah di Malaysia. Menjadi simbol kebanggaan dan kesucian agama Islam di Perak, pembinaannya diilhamkan oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Shah I pada 1910.

Bagaimanapun, ia hanya siap dibina pada akhir 1919, selepas dua kali dilengahkan oleh peristiwa dua gajah bertelagah menyebabkan marmar import dari Itali rosak dan selepas melalui pendudukan Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia II.

Masjid ini direka bentuk Arthur Benison Hubback, arkitek kerajaan yang turut bertanggungjawab mereka stesen kereta api Ipoh dan Kuala Lumpur. Justeru, seni bina bangunan ini memiliki gaya Moor yang kuat dapat dilihat dengan kubah warna emasnya.

BELI-BELAH DAN JAMU SELERA

Tidak sah ke Kuala Kangsar jika tidak membawa pulang labu sayong. Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.

Jika tidak, anda boleh beli di bazar tepi Sungai Perak, yang menjual pelbagai barang kraftangan tempatan pada harga berpatutan, termasuk bubu hiasan, bakul rotan, tikar mengkuang, tudung saji rotan atau nipah, karangan laut dan barangan besi.

Singgah sebentar di Medan Cendol dan Laksa bersebelahan bazar kraf dan Laman Budaya untuk menjamu selera atau sekadar menghilangkan dahaga. Sebagai panduan, ia terletak berhampiran dengan replika labu sayong gergasi yang menjadi mercu tanda Kuala Kangsar.

>Info

>Pokok getah tertua di Semenanjung Malaysia ditanam di bandar ini pada 1900 oleh Residen British di Perak ketika itu, Sir Hugh Low yang membawa masuk benih getah ke Kuala Kangsar untuk membuka ladang getah.

>Kuala Kangsar mendapat nama sempena 99 kuala yang ada di Sungai Perak yang mana penduduk tempatan menyebut 'Kuala Kurang Sa' iaitu kurang satu untuk ke seratus dan kemudian bunyinya disebut Kuala Kangsar.

>Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali dengan nama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang dibina pada 1905 menjadi tempat melatih golongan elit Melayu. Antara bekas penuntut termasuk Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

>Safari Sungai Perak akan membawa pengunjung menyusuri sepanjang Sungai Perak selam dua jam 25 minit serta melihat kehidupan semula jadi penduduk tempatan yang tinggal di sekitar kampung di pesisiran sungai dan pelbagai habitat sungai terutama tuntong selain haiwan liar seperti monyet yang berkeliaran mencari makanan.

No comments:

My Youtube Channel

https://www.youtube.com/user/mhconan/featured?view_as=subscriber