Pada hari ini, kehadiran kanak-kanak ke masjid seolah-olah tidak disukai oleh segelintir para jemaah. Mereka menganggap kanak-kanak ini datang hanya untuk bermain-main sahaja.
Melayukini.net – Renungan – Mesrakah Masjid Dengan Kanak-Kanak? | Baik solat sunat terawaih, solat fardhu jumaat, kanak-kanak dilihat gembira ketika berada di masjid. Mereka rela menghabiskan masa perdana di masjid dan surau, walau tidak dinafikan adakalanya mereka turut menyulam solat dengan tawa dan gurau. Hakikatnya, itulah alam kanak- kanak. Namun kehadiran kanak-kanak ke masjid sering ditentang oleh segelintir masyarakat. Mereka menganggap kanak-kanak ini datang sekadar mahu membuat bising dan menganggu jemaah yang lain. Beginikah caranya untuk kita merapatkan mereka dengan rumah Allah?
Baru-baru ini, ketika memenuhi jemputan sebuah syarikat multinasional menyampaikan tazkirah Ramadan, saya diajukan dengan soalan yang cukup biasa kedengaran. Namun, minda saya tersentak dengan bunga dan buah yang diberi. Bayangkan, suatu insiden di sebuah masjid, seorang anak kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun setia berdiri di sisi ayahnya.
Saat takbir mahu diangkat bagi memisahkan dunia dan akhirat (takbiratulihram), ketika itulah seorang lelaki berperawakan alim menegur. Si ayah dengan sopan menyatakan, dia mahukan anak itu berdiri di sisinya, kerana dengan cara itu hatinya lebih tenteram.
Bayangkanlah, jika si anak solat berjauhan beberapa saf di belakang, hatinya gusar tentang keselamatan anaknya. Rasa bimbang yang boleh membunuh khusyuknya dalam sembahyang.
Dalam suasana yang sepatutnya tenang menuju solat itulah, tiba-tiba lelaki yang berperawakan hebat itu menyerang. Dengan tegas dia menyatakan, saf kanak-kanak adalah di belakang. Dengan tegas juga dia menarik tangan si kecil ke belakang, sedang si ayah terkebil-kebil menyaksikan adegan.
Menurut pemuda yang bertanya kepada saya, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan. Masjid yang sepatutnya menyaksikan ukhuwah bertautan, hampir terlerai dengan sebuah pertikaian.
Saya akur, majoriti masjid dan surau di negara ini kebanyakannya meletakkan tiga kategori saf. Saf paling hadapan adalah untuk golongan lelaki dewasa, saf pertengahan dikhaskan kepada anak-anak kecil (dalam jarak usia 5 tahun hingga 10 tahun) dan saf paling belakang adalah untuk wanita. Ada juga sesetengah masjid dan surau yang meletakkan saf wanita di sudut sebelah kiri atau di bahagian atas masjid mereka.
Saya pelik dengan ketetapan ini. Ada sesetengah masjid besar ’kian mengarut’ dalam tindakannya. Mereka meletakkan papan tanda ‘Kanak-kanak di bawah usia enam atau lima tahun dilarang memasuki dewan masjid’. Nampaknya, bukan wanita yang uzur kerana didatangi haid dan nifas sahaja ditegah mengunjungi rumah Allah, bahkan kaum ibu yang suci bersih daripada hadas besar juga dilarang sama. Bagi saya inilah konotasi arahan itu. Bagaimana seorang ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil mampu mengunjungi masjid dan surau, jika anak-anak mereka dilarang memasukinya.
Saya menyusuri hadis-hadis nabi. Saya cuba mencari atau hakikatnya tercari-cari, apakah sandaran mereka yakni para jawatankuasa masjid melakukan sedemikian. Malangnya, pencarian saya hampir gagal menemui jawapan. Tiada satu nas yang sahih dan jelas, melarang anak-anak kecil untuk solat bersama kaum lelaki di dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah putus saf atau hilang pahala jemaah kerana mereka berdiri di sebelah kita. Yang ada, saya terjumpa dengan beberapa hadis yang menyatakan sebaliknya. Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w meraikan anak-anak kecil di rumah Allah. Mereka adalah tetamu cilik yang sepatutnya diraikan, agar jiwa membugar dengan kesucian masjid, akhlak mereka membunga dengan keindahan masjid.
Dari Anas r.a telah berkata: “Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi s.a.w dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami.” (Riwayat Bukhari).
Di samping itu, saya tertarik untuk menyatakan bahawa, apakah logiknya kita mengatakan saf terputus atau hilang pahala jamaah kerana kita diselangi oleh seorang kanak-kanak yang belum berkhatan. Mereka berhujah kononnya, di bawah kulup si anak kecil itu ada najis yang boleh membatalkan atau paling tidak merosakkan pahala saf dan jemaah mereka.
Apakah kita boleh mengatakan lelaki dewasa yang sudah tidak berkulup itu juga suci, jika pada badannya ada nanah yang dipekap atau dibebat dengan kain kemudian dia bersolat di sebelah kita.
Sebenarnya, kebanyakan umat Islam hari ini banyak meletakkan ‘taklid’ sebagai neraca di dalam panduan dalam beribadat. Sedari kecil, apabila belajar bab fikah, kita diajar terus kepada aspek hukum. Bagi saya, budaya taklid ini amat berbahaya. Ia ibarat tumor yang membiak dan akan menguasai akal fikir umat Islam yang waras.
Melayukini.net - Jika pada hari ini kita masih lagi menganggap bahawa kehadiran kanak-kanak ke masjid sekadar menganggu jemaah yang lain. Usah bertanya dan usah hairan, jika generasi mereka tidak memenuhi masjid pada masa akan datang. Hal ini kerana, sewaktu mereka kecil, kita seolah-olah cuba menjauhkan masjid daripada mereka. Semoga selepas ini tiada lagi larangan untuk kanak-kanak bersolat bersama orang dewasa di dalam masjid.
Sumber Melayukini.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
My Youtube Channel
https://www.youtube.com/user/mhconan/featured?view_as=subscriber
-
artikel ini sekadar renungan dan menambahkan ilmu pengetahuan...sama ada benar atau tidak "tanda-tanda" ini tidaklah dapat dikenal...
-
The words that i can say right now is welcome to my blog, this is my first time to blogging, hehe..hope not hangat-hangat taik ayam, so righ...
No comments:
Post a Comment